ARTIKEL

JAHIL PUNCA MANGSA KENA TIPU.


08-Feb-2004
HARIAN METRO
KUALA LUMPUR: Kurang pengetahuan mengenai sistem pajak gadai menyebabkan ramai anggota masyarakat khususnya mereka yang terdesak memerlukan wang, tertipu dan kerugian beratus-ratus ringgit.
Walaupun populariti kedai pajak gadai sebagai 'bank' untuk mendapatkan wang segera pernah dimonopoli ceti haram atau along, tetapi ia mampu bertahan dan fungsinya terus diperlukan hingga kini.
Malah, tidak keterlaluan jika ada yang menyifatkan kedai pajak gadai sebagai penyelamat sementara. Mana tidaknya, mereka sentiasa bersedia menghulur 'bantuan' asal ada barang kemas boleh dijadikan sandaran tatkala saudara mara dan sahabat tidak sanggup menolong.
Walaupun skim pajak gadai Islam, Ar-Rahnu diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu di beberapa bank terkemuka tanah air, tetapi masih ramai memilih mendapatkan khidmat kedai pajak gadai atas alasan ia lebih mudah dan cepat.
Skim
Ar Rahnu membolehkan umat Islam mengelakkan diri daripada ditipu atau terbabit dalam urusan pajak gadai berunsur riba. Sebelum ini umat Islam tidak mempunyai pilihan kerana sistem pajak gadai konvensional rata-rata dimonopoli pengusaha bukan muslim.
Namun yang tidak sedapnya, ada sesetengah kedai pajak- gadai konvensional cuba mengaut keuntungan ketika orang lain kesempitan wang dengan melakukan pelbagai penipuan, termasuk mengenakan kadar faedah melebihi had ditetapkan, menawarkan nilai gadaian rendah, nilai emas merosot dan mengeluarkan surat perjanjian pajak yang mengelirukan.
Pun
begitu, menurut peraih emas, Rosnah Majid, 32, yang terbabit dalam perniagaan pajak gadai sejak empat tahun lalu, bukan semua pemegang lesen perniagaan jual beli emas cuba menangguk di air keruh.
Ramai menjalankan perniagaan jual beli emas berlandaskan prosedur sama skim Ar- Rahnu, seperti diamalkan beberapa bank terkemuka tanah air yang beroperasi berasaskan hukuman Syariah.
Melalui sistem ini, nasib pemajak yang rata-rata membabitkan golongan berpendapatan rendah akan terbela dan mengelakkan mereka tertipu dengan pelbagai taktik pengusaha kedai pajak.
Prosedur dan pengiraan nilai barang kemas digunakan Rosnah sama seperti diamalkan kebanyakan bank yang memperkenalkan sistem Ar- Rahnu. "Bezanya, saya menawarkan perkhidmatan membeli surat pajak dan emas daripada pelanggan bagi membolehkan mereka menebus balik barang kemas, sama ada di bank atau di kedai pajak.
"
Saya tidak mengeluarkan surat pajak, tetapi membantu pengguna mendapatkan balik barang kemas mereka dan membelinya mengikut harga pasaran emas terpakai.
"
Nilai pajakan sebenarnya tidak melebihi 60 peratus daripada harga belian kerana harga emas terpakai umumnya lebih rendah. Orang ramai juga mudah ditipu kerana setakat ini tiada peraturan mensyaratkan semua peniaga pajak gadai mempamerkan harga pasaran emas terpakai. Ini menyebabkan ada sesetengah pengusaha menawarkan harga yang terlalu rendah, terutama kepada orang kampung.
"
Sebenarnya ramai tidak sedar mereka menjadi mangsa penipuan segelintir pengusaha kedai pajak konvensional apabila mahu menjual barang kemas terpakai kerana mereka biasanya tidak menerima bayaran yang sepatutnya mengikut nilai semasa harga emas terpakai," katanya.
Prosedur perniagaannya juga mudah beliau memberi wang modal kepada pemajak untuk menebus balik barang kemas mengikut nilai pajakan, termasuk kadar faedah iaitu dua peratus sebulan. Kadar faedah gadaian barang kemas adalah standard dan.diguna pakai semua bank yang menawarkan skim Ar- Rahnu.
Barang kemas yang ditebus akan ditimbang di hadapan pelanggan dan dinilai semula mengikut harga pasaran barang kemas terpakai, iaitu antara RM30 hingga RM35 segram. Nilai baru ini akan ditolak dengan bayaran modaldan bakinya akan diserahkan kepada pelanggan.
Perkhidmatan peraih sepertinya bukan sekadar mencari untung, tetapi turut melindungi kepentingan pemajak yang rata-rata membabitkan orang Melayu kerana mereka akan mengalami kerugian jika gagal menebus balik barang yang dicagarkan dan keuntungan itu akan berpindah sepenuhnya ke poket pemilik kedai.
Bahkan peraih atau pajak gadai jalanan ini, juga ada kelebihannya kerana mereka menerima semua jenis emas yang hendak dipajak. Kelebihan inilah juga yang menjadikan pelanggan lebih suka berurusan dengan peraih berbanding skim pajak gadai bank, walaupun mereka menawarkan sistem yang lebih terjamin.


PESTA BARANG KEMAS.


25hb Mac 2009
Kosmo
PESTA Barang Kemas Antarabangsa (MIJF) merupakan salah satu pameran barang kemas terkemuka di Malaysia dan benua Asia Tenggara.
Sejak beberapa tahun lalu, MIJF terus berkembang sama ada dalam pertambahan keluasan ruang pameran atau mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.

Penganjuran MIJF 2008 yang baru berakhir dilihat sebagai satu kejayaan dengan peningkatan 65 peratus gerai pameran dan lebih 20,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. Ini termasuklah Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong, Vietnam, Filipina, India dan China.
Sebagai menyahut permintaan dan potensi yang semakin meningkat, MIJF akan melancarkan Pesta Barang Kemas Antarabangsa (MIJF) - Edisi Musim Bunga sehingga 16 Mac ini, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pameran selama empat hari itu dijadualkan berlangsung dari pukul 11 pagi sehingga 7 malam dengan kehadiran 200 peserta pameran dan lebih 18,000 pengunjung.
Pada tahun ini, MIJF buat pertama kali akan memperkenalkan Stylish Living Galleria dan Fine Jewellery Pavilion.
Stylish Living Galleria memperlihatkan ilustrasi menarik dan keraian gaya hidup penuh stail, manakala Fine Jewellery Pavilion merupakan edisi terbaru yang memaparkan koleksi aksesori berharga tetapi pada harga yang berpatutan. Antaranya barang kemas pengantin, gelang dan cincin emas atau platinum yang bertatahkan berlian.

Selain itu, pelbagai perkhidmatan dan program berkaitan turut disediakan. Ini termasuklah perkhidmatan pembersihan barang kemas percuma yang membenarkan pengunjung mendapatkan tip-tip berguna daripada pakar barang kemas tentang kaedah terbaik dalam penjagaan barang berharga itu.
Pengunjung juga berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai sesi pertandingan seperti Belanja dan Menang yang menawarkan hadiah bernilai RM10,000 dan Teka harga yang memberikan set barang kemas kepada pemenang.

Sebagai menghargai kehadiran pengunjung, Privilege Parking Space yang terletak di Menara Dato Onn membenarkan anda
meletakkan kereta pada kadar istimewa - RM5 sekali masuk. Pengunjung hanya perlu membawa kad VIP atau jemputan SMS yang dihantar.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.elite.com.my atau dengan menghubungi talian 03- 9058 8772.


KENAPA PAJAKGADAI KONVENSIONAL MASIH POPULAR.

September 13, 2008
JUHAIDI YEAN ABDULLAH
SUDAH menjadi lumrah menjelang setiap Aidilfitri, ramai yang berpusu-pusu ke kedai pajak gadai. Mereka menggadaikan gelang emas, cincin, jam, rantai berlian untuk mendapatkan wang tunai buat bekalan hari raya bagi membeli langsir atau perabot baru, bayar muka kereta baru dan kegunaan lain. Orang bergadai bukan sahaja untuk perbelanjaan hari raya dan tidak terhad kepada suri rumah atau ibubapa. Malah ramai juga peniaga kecil, penjaja dan petani yang bergolok bergadai buat modal atau bayar deposit, baiki rumah, langsai hutang, beli buku buku dan uniform sekolah anak serta macam-macam lagi.
Di Malaysia,
pajak gadai sudah menjadi satu institusi. Ia adalah satu sistem kredit mikro yang popular di kalangan masyarakat kita. Prof Diraja Ungku Aziz, dalam kajiannya, mendapati kedai-kedai pajak gadai yang telah beroperasi berpuluh-puluh tahun, adalah satu penindasan ke atas peminjam miskin. Kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi. Orang Islam juga tahu aktiviti pajak gadai konvensional mengamalkan riba dan haram. Namun, hakikatnya, ia tetap menjadi pilihan utama mereka yang ingin mendapat pinjaman kecil secara cepat.
Kini, terdapat 307 kedai pajak gadai yang berdaftar di seluruh negara. Wujudnya kedai pajak gadai, ceti dan ah long di merata tempat adalah manifestasi peranannya dalam sistem ekonomi kita. Walaupun ada bank dan institusi kewangan lain, bagi mereka yang tidak layak atau tidak memenuhi syarat untuk mendapat kad kredit, pinjaman peribadi atau kemudahan overdraf, mereka lebih senang ke kedai pajak gadai. Sesetengah orang tidak gemar ke bank atau syarikat kredit kerana terlalu banyak borang yang perlu diisi. Untuk dapatkan RM500 atau RM1,000 adalah leceh untuk mengisi banyak borang, beratur panjang atau menyerahkan banyak dokumen peribadi. Di kedai pajak gadai tidak banyak karenah. Hanya perlu letak sekuriti untuk jumlah yang hendak dipinjam.
Namun, ini tidak bermakna semua beres. Menurut Yap Kon Lin, di Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, semua urusan pajak gadai tertakluk kepada Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Berdasarkan pengalaman beliau, terdapat beberapa keadaan yang berat sebelah dan tidak adil kepada peminjam. Antaranya ialah:
Kadar
faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran.
Barang kemas yang digadai, samada cincin, gelang atau rantai, biasanya tidak ditimbang atau diukur. Banyak kes berlaku di mana barang kemas yang digadai itu lebih ringan atau pendek sedikit apabila ditebus. Mungkin peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu. Oleh kerana berat dan panjang barang itu tidak dicatat dalam resit, peminjam sukar mempertikai penyelewengan pekedai.
Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, peniaga pajak gadai berhak melelong barang yang digadai sekiranya dinilai kurang RM100. Bagi barang yang dinilai lebih RM100, peniaga pajak gadai tidak boleh melelong sesuka hati malah perlu ikut beberapa peraturan termasuk melantik pelelong berlesen untuk melakukan lelongan. Tapi banyak juga kes peniaga pajak gadai dan pelelong berlesen berpakat di mana peniaga itu dapat membeli semula barang lelongan tersebut pada harga terendah.
Ramai peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan ditolak jumlah hutang. Ini satu penganiayaan terhadap peminjam.
Jika berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, peniaga pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada peminjam sebagai pampasan. Ini tentu tidak memadai dan tidak adil tetapi inilah yang diperuntukkan dalam undang-undang yang sedia ada.
Prof. Dr. Abdullah Hassan,
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, menjelaskan beberapa hal lain yang menindas dan merugikan peminjam. Menurut beliau, peniaga pajak gadai mengenakan bayaran ke atas resit gadaian. Sebenarnya, pemegang gadaian boleh dapat semula resit secara percuma apabila memohon penangguhan. Namun, ada peniaga pajak gadai berani mengambil kesempatan mengenakan bayaran 50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang seterusnya.
Akta tidak mewajibkan pemberian resit bagi barang yang digadai kecuali pemegang yang perlu menyerahkan surat pajak gadai sahaja. Ia juga tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar faeah yang ditetapkan di tempat terbuka dengan jelas atau menerangkan kepada peminjam yang buta huruf kerana perniagaan pajak gadai tidak dipantau dengan ketat. Akta tidak menetapkan kawalan atau peraturan acara melelong barang gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak dinyatakan waktu dan tempat lelongan diadakan. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.
Kata Dr. Abdullah lagi, 6 bulan adalah tempoh pajakan yang singkat jika jumlah penjaman yang dibuat adalah besar. Para peminjam terdiri daripada golongan miskin, dan mereka dibebankan dengan kadar faedah yang tinggi. Akta pula mengehadkan peniaga pajak gadai memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan jika lebih ia perlu mendapat lesen peminjam wang.

Cabaran yang perlu diatasi ialah mengubah mindset masyarakat mengenai kelebihan sistem pajak gadai Islam. Fokus dan promosi pemasaran perlu diperluaskan kepada orang bukan Islam, bukan sahaja Islam. Sebagai instrumen kewangan, ar-rahn mempunyai potensi yang cukup besar bukan sahaja di Malaysia, malah di negara membangunkan lain terutama di Asia Tenggara. Kerajaan dan institusi terbabit perlu lebih gigih dalam usaha mengenengahkan skim ini ke semua peringkat. Satu langkah yang pasti dapat mempercepatkan proses ini ialah melalui penggubalan Akta Pajak Gadai Islam yang akan membantu pengurusan, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan industri serta merealisasikan potensinya.
Di
bawah sistem pajak gadai konvensional, bagi barang cagaran bernilai RM2,000 misalnya, pekedai akan pinjamkan RM1,000 dan caj faedah RM2 bagi setiap RM100 yang dipinjamkan (kadar faedah 2% sebulan). Tempoh pembayaran semula biasanya 6 bulan. Untuk menebus, peminjam harus bayar RM1,000 tambah RM120 (RM20 x 6 bulan). Jika gagal menebus, peminjam boleh membuat perjanjian baru dan mohon tempoh 6 bulan lagi pada kadar faedah bulanan yang sama dengan syarat dia bayar dahulu faedah 6 bulan pertama. Maknanya, jika dia ingin bayar dalam tempoh 12 bulan, faedahnya ialah 24% (RM240 x RM1,000 = 24%) setahun.
Kedai pajak gadai tidak terima bayar ansuran. Peminjam mesti bayar jumlah penuh RM1,000 campur faedah dalam tempoh yang ditetapkan. Kegagalan membayar bermakna hilang cagaran. Bagaimanakah cara kedai pajak gadai mendapat keuntungan? Andainya nilai sebenar cagaran ialah RM1,500 tapi dinilaikan RM800, kedai pajak gadai mungkin beri pinjaman RM300 sahaja. Jika peminjam gagal tebus, kerugiannya ialah RM1,500 - RM336 = RM1,164. Kedai pajak gadai mendapat keuntungan daripada kadar faedah tinggi yang dikenakan dan bayaran tambahan daripada transaksi dengan peminjam.
Di
bawah sistem Islam, perniagaan pajak gadai Islam (murtahin) tidak mengenakan faedah (riba). Keuntungan yang diperolehi ialah daripada yuran menyimpan aset yang dicagar. Misalnya, jika nilai cagaran ialah RM1,000 atau kurang, yuran simpanan yang dikenakan ialah (RM1,000/100) x 40 sen atau RM4 sebulan. Biasanya, kira-kira separuh daripada nilai cagaran yang diberi kepada peminjam (rahin) sebagai pinjaman tanpa riba. Justeru, pinjaman RM500 yang perlu dibayar dalam tempoh 6 bulan akan dikenakan yuran sebanyak RM4 x 6 = RM24.
Untuk menebus, rahin perlu membayar murtahin RM524. Rahin boleh mohon lanjutan tempoh pembayaran balik tetapi kena bayar tambahan atas yuran simpanan. Jikan rahin masih gagal membayar, murtahin berhak melelong aset yang dicagar. Murtahin akan menuntut apa yang perlu dibayar kepadanya manakala baki diserah kepada rahin. Jika rahin tidak dapat dikesan, baki akan diberi kepada Baitulmal. Rahin boleh menutut haknya daripada Baitulmal pada masa akan datang.
Murtahin tidak boleh menjual aset rahin untuk tujuan pelaburan dan keuntungannya semata-mata. Murtahin boleh mendapat hasil daripada menyimpan aset bukan keuntungan daripada penggunaan aset tersebut. Jika ini berlaku tanpa pengetahuan atau persetujuan rahin dan jika berlaku kerugian, murtahin mesti bertanggungjawab ke atas kerugian tersebut.